World Scout Environment Programme 2018 - Pemeliharaan Alam Sekitar Melalui Pertanian Lestari

World Scout Environment Programme 2018 - Pemeliharaan Alam Sekitar Melalui Pertanian Lestari

Alam sekitar adalah keseluruhan fenomena sekeliling yang boleh mempengaruhi kehidupan sesuatu organisma. Alam sekitar sangat berkait rapat dengan manusia kerana dengan adanya persekitaran alam sekitar yang berkualiti akan menghasilkan sumber air dan makanan yang bersih untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan manusia.

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor ekonomi primer terpenting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk di Malaysia dan ia merupakan sektor yang penting dalam menyumbang kepada pendapatan negara. Penekanan terhadap sektor pertanian membolehkan negara mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dari luar negara. Walaubagaimanapun, sekiranya ia tidak dipelihara dan dikawal daripada awal, maka ia akan memberi kesan yang negatif kepada alam sekitar dan generasi akan datang tidak dapat menikmatinya lagi. Ini selari dengan visi Jabatan Pertanian Malaysia iaitu mengwujudkan industri pertanian berdaya saing, pengeluaran produk berkualiti, selamat dan mesra alam.

Berkaitan dengan hal ini, Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) telah mencetuskan idea sebagai satu inisiatif untuk menyelamatkan alam sekitar dari terus terancam oleh ancaman manusia dan ancaman semulajadi dengan melaksanakan beberapa aktiviti yang berkaitan seterusnya memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

 

Latar belakang Projek :

WSEP menawarkan alat, sumber dan inisiatif untuk semua peringkat umur untuk membantu Pengakap di seluruh dunia bekerjasama untuk kebaikan persekitaran tempatan dan global. Program ini adalah berdasarkan kepada satu set prinsip dan ‘aim’ alam sekitar dan bertujuan menyediakan asas untuk pendidikan alam sekitar dalam Pengakap. Berdasarkan ‘World Scout Environment Badge’ untuk 15+ terdapat 5 ‘aim’ yang perlu dicapai . Manakala program ini akan dapat mencapai kesemua ‘aim’ tersebut.

 

Objektif Projek :

1. Menimbulkan minat di kalangan peserta terutama sekali generasi muda untuk menyertai program memelihara alam sekitar.

2. Memberi pendedahan kepada para peserta tentang faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekitar.

3. Mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar terutama dari segi pertanian.

4. Mendedahkan para pelajar kepada cara dan teknik pengurusan alam sekitar dalam sektor pertanian.

5. Memperkasakan tahap kesukarelawanan di kalangan ahli KLKM dengan membina jaringan perhubungan dengan komuniti setempat.

6. Menerapkan minat di kalangan ahli KLKM untuk terus melaksanakan program berkonsepkan Messengers of Peace (MOP) terutamanya berkaitan WSEP.

 

WORLD SCOUT ENVIRONMENT PROGRAMME:  Aim 1 Pengakap berusaha ke arah dunia yang di mana manusia dan  sistem semulajadi mempunyai udara dan air yang bersih.

Objektif :

1. Mengkaji sumber udara dan air yang bersih di persekitaran tempatan.

2. Demostrasi hubungan tindakan peribadi dengan ketersediaan udara dan air yang bersih dalam persekitaran tempatan dan global.

 

1) UDARA

             Udara merupakan aspek yang penting untuk kegunaan dalam kehidupan seharian dan ia perlu dipelihara dengan sebaiknya. Udara tidak dapat dilihat, tidak berbau, dan tidak mempunyai rasa. Gas-gas dalam udara terdiri daripada 78% nitrogen, 21% oksigen, dan 1% wap air, 0.03% karbon dioksida, 0.97% gas nadir, habuk, mikroorganisma (gas-gas lain). Kandungan udara juga bertukar dengan ketinggian atmosfera. Udara yang bersih haruslah dipelihara daripada tercemar agar semua hidupan dapat meneruskan kehidupan. Kualiti udara boleh terjejas dengan aktiviti pertanian yang tidak mengamalkan amalan ladang yang baik seperti pengurusan sisa pertanian. Secara tidak sedar, proses penguraian dan pembakaran sisa pertanian ini akan menghasilkan gas rumah hijau (GHG) yang merupakan sumber utama pemanasan global.

 

Salah satu cara untuk menentukan udara yang bersih adalah dengan kehadiran liken di sesuatu kawasan. Liken digunakan sebagai indikator pencemaran kerana liken sangat peka terhadap pencemaran. Liken sangat sensitif terhadap pencemaran yang berbahaya, misalnya fluorida, logam berat, bahan radioaktif, bahan kimia untuk kegunaan sektor pertanian seperti racun perosak. Liken boleh menyerap pencemaran yang terdapat di udara. Daripada kandungan pencemaran yang terdapat di dalam liken, kita dapat menentukan kualiti udara di sesuatu kawasan. Jika di suatu tempat, mempunyai banyak kehadiran Liken sama ada di batang pokok, tebing, di atas tanah terutama di daerah kutub utara, di atas batu, atau gunung-gunung yang tinggi, maka hal itu menunjukkan bahawa pencemaran di tempat mempunyai kualiti udara yang baik. Oleh itu melalui aktiviti ini, Kelana akan didedahkan cara bagaimana untuk menentukan kualiti udara di sesuatu kawasan melalui pemerhatian organisma atau dikenali sebagai pemerhatian terhadap bioindikator di kawasan sekeliling iaitu Liken.

 

Sebagai individu yang bertanggungjawab kita haruslah mengelakkan daripada melakukan pencemaran udara dan berusaha ke arah memelihara kualiti udara di sekeliling. Ini dapat dilakukan dengan menggunapakai sisa-sisa pertanian dan peternakan melalui menghasilan kompos.

 

Kesimpulannya, setiap individu perlu memainkan peranan dalam memelihara udara bersih daripada tercemar. Setiap tindakan peribadi yang dilakukan akan memberi impak positif atau kesan negatif kepada alam sekitar. Oleh itu, kesedaran yang tinggi terhadap alam sekitar haruslah wujud dalam diri setiap individu demi kelestarian alam sekitar.

 

Aktiviti 1 : Menentukan kualiti udara

 

Kami telah mencari spesies liken yang terdapat dikawasan berhampiran Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi- PPBGL Universiti Malaya, Jelebu, Negeri Sembilan, Malaysia. Selepas kami menemui dan mengenalpasti spesies Liken yang hidup di atas batang pokok, lalu kami memotong dan mengukur Liken tersebut dan memasukkan ke dalam sampul surat untuk tujuan pemerhatian dan pelaporan.

 

Secara ringkasnya, salah satu cara untuk menentukan udara yang bersih adalah dengan melihat kehadiran Liken di sesuatu kawasan. Liken digunakan sebagai indicator pencemaran kerana Liken sangat peka terhadap pencemaran. Liken ini dapat dilihat di tempat batang pokok, tebing, diatas tanah terutama di daerah kutub utara, di atas batu, di tepi pantai atau gunung-gunung yang tinggi.

 

Aktiviti 2 : Menghasilkan kompos

 

Kami telah menyediakan kompos dengan menggunakan tinja kambing dan habuk kayu. Proses penyediaan kompos iaitu dengan memasukkan tinja kambing dan habuk kayu ke dalam bekas berselang-seli dengan habuk kayu menjadi lapisan sehingga penuh dan seterusnya kami menyiramkan dengan air. Selepas proses ini selesai, kami telah menutup pasu dengan menggunakan sarung guni dan mengikat guni tersebut dengan menggunakan tali rafia. Kami juga telah memasukkan paip PVC ke dalam bekas kompos untuk pengudaraan. Proses terakhir adalah perlu mengaulkan kompos tersebut  setiap 2 hari dan di basahkan sehingga tidak berbau dan bertukar menjadi seperti tanah.

 

Aktiviti 3 : Kami telah didedahkan kegunaan kompos di dalam penyediaan media tanaman

 

Ringkasnya, aktiviti kompos boleh membantu memperkembangkan lagi usaha-usaha mewujudkan jaminan sumber makanan (food security) dalam kalangan masyarakat. Ia dapat dilihat bila mana sumber input pertanian boleh dihasilkan sendiri tanpa perlu bergantung kepada pembelian baja. Tambahan pula aktiviti pertanian yang dihasilkan menggunakan kompos lebih 'organik' dan sihat. Inilah antara rahsia kejayaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Cuba semenjak sekian lama dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika namun rakyatnya menjadi semakin sihat dan hidup dengan sejahtera. Setiap lapisan masyarakat telah menghasilkan kompos sendiri dari sisa makanan dan digunakan untuk aktiviti pertanian bandar (urban farming) di kediaman masing-masing yang mana hasilnya bukan sahaja untuk kegunaan makan sendiri, malahan boleh dijual sebagai pendapatan tambahan. Banyak lagi usaha-usaha yang boleh dijalankan di peringkat kerajaan dan NGO untuk menggalakkan masyarakat Malaysia supaya sama-sama mengitar semula sisa organik untuk menghasilkan kompos.

 

Penyertaan masyarakat melalui penghasilan kompos ini sudah cukup membantu mengurangkan pencemaran alam, pembakaran terbuka dan membantu menghidupkan kembali tanah yang sudah mati akibat penggunaan baja dan racun kimia semenjak sekian lama.

 

 

Hasil :

1. Kami dapat membentangkan hasil pemerhatian dan penemuan Liken.

2. Kami dapat menerangkan cara-cara menghasilkan kompos dan kebaikan penggunaan kompos terhadap alam sekitar.

 

 

2) AIR

             Air merupakan komponen penting kepada semua kehidupan. Sebanyak 97% dari sumber air terdiri daripada air masin di lautan dan hanya 3% merupakan air tawar. Namun, sumber air semakin hari semakin tercemar kerana pembangunan yang semakin pesat, peningkatan sektor industri, dan juga akibat daripada aktiviti sektor pertanian kerana hendak memenuhi pemintaan tanaman bagi menampung bilangan penduduk yang semakin meningkat.

 

Aktiviti utama bagi sektor pertanian yang boleh memberi kesan kepada sumber air ialah pembajaan. Pembajaan adalah proses pembekalan nutrien secara seimbang kepada tanaman untuk keperluan tumbesaran dan pengeluaran hasil. Dengan cara ini tanaman akan tumbuh dengan subur dan mengeluarkan hasil yang optimum. Setiap tanaman memerlukan kuantiti baja yang berlainan mengikut keperluan tanaman. Namun begitu, proses ini akan memberi kesan kepada sumber air seandainya kadar baja yang digunakan tidak mengikut standard yang diperlukan dalam setiap jenis tanaman. Seterusnya, pencemaran air akan berlaku disebabkan oleh nutrien yang berlebihan dalam ekosistem air. Kadar kelebihan nutrien ini dikenali sebagai proses eutrofikasi.

 

Eutrofikasi merupakan salah satu impak daripada penggunaan baja yang berlebihan dan memberi kesan kepada penurunan kadar oksigen terlarut dalam air. Penurunan kadar oksigen dalam air ini disebabkan oleh kekurangan penghasilan oksigen (fotosintesis) daripada tumbuhan air kerana terhalang daripada menerima cahaya matahari akibat daripada peningkatan nutrien di dalam air. Baja organik merupakan satu cara alternatif mengurangkan kadar pencemaran air dengan menggantikan kepada baja kimia.

 

Kesimpulannya, kadar pembajaan yang sistematik dan teratur mengikut jenis tanaman serta penggunaan bahan organik merupakan salah satu cara bagi mengurangkan kadar pencemaran air. Amalan pertanian yang baik seperti pengurusan pengairan juga memainkan peranan.

 

 

Aktiviti 1 : Menentukan kualiti air

 

Kami telah didedahkan cara-cara untuk mengambil sampel air. Sehubungan itu, kami juga telah menentukan status kualiti air dengan menggunakan meter oksigen terlarut (DO).

 

Air merupakan komponen penting kepada semua kehidupan. Sebanyak 97% dari sumber air terdiri daripada air masin di lautan dan hanya 3% merupakan air tawar.

 

Eutrofikasi

Eutrofikasi adalah respon ekosistem terhadap penambahan bahan-bahan tiruan atau asli, yang terkandungnya bahan fosfat, melalui detergenbaja, atau sampah, ke dalam satu sistem akuatik. Salah satu daripada contoh eutrofikasi ialah peningkatan mendadak fitoplankton dalam badan air sebagai tindak balas terhadap peningkatan tahap nutrien. Kesan alam sekitar negatif termasuk hipoksia, iaitu pengurangan oksigen di dalam air, yang boleh menyebabkan kematian haiwan akuatik berlaku. Eutrofikasi wujud daripada lebihan bekalan nutrien, yang menginduksi pertumbuhan letupan tumbuhan dan alga, di mana apabila suatu organisma itu mati, ia menggunakan oksigen dari badan air, dengan itu mewujudkan keadaan hipoksia.

 

Faktor utama pengehadan eutrofikasi adalah fosfat. Ketersediaan fosforus secara amnya menggalakkan pertumbuhan tumbuhan dan pereputan yang berlebihan, yang mengutamakan alga dan plankton ringkas melebihi tumbuh-tumbuhan lain yang lebih rumit, dan menyebabkan penurunan yang mendadak terhadap kualiti air. Fosforus merupakan nutrien yang diperlukan untuk penghidupan tumbuh-tumbuhan, dan juga merupakan faktor pengehad untuk pertumbuhan tumbuhan dalam banyak ekosistem air tawar. Fosfat melekat ketat kepada tanah, maka ia kebanyakannya diangkut melalui hakisan. Apabila ia ditranslokasi ke dalam tasik, pengekstrakan fosfat ke dalam air menjadi perlahan, maka terjadilah kesukaran untuk menterbalikkan kesan eutrofikasi.

 

Sumber fosfat yang berlebihan ini adalah pembersih, air larian perindustrian/domestik, dan baja. Dengan pemberhentian pengeluaran fosfat yang mengandungi detergen dpada tahun 1970-an, maka air larian industri/domestik dan sektor pertanian telah muncul sebagai penyumbang utama kepada eutrofikasi.

 

 

Aktiviti 2 : Pengiraan baja kimia dan bahan organik

 

Kami telah didedahkan dengan jenis-jenis baja yang digunakan dalam pertanian serta kami telah mempelajari pengiraan baja kimia yang betul mengikut standard keluasan dan jenis tanaman.

 

Hasil :

1. Kami dapat menerangkan secara ringkas bagaimana proses eutrofikasi berlaku yang menyebabkan perubahan biodiversiti dalam sesuatu kawasan tersebut.

2. Kami dapat menunjukkan cara-cara pengiraan baja yang betul.

 

 

WORLD SCOUT ENVIRONMENT PROGRAMME:  Aim 2 Pengakap berusaha ke arah dunia di mana habitat semulajadi yang cukup dapat diwujudkan untuk memelihara spesies asli.

             Malaysia telah diiktirafkan sebagai salah sebuah negara ‘mega-kepelbagaian’ di dunia. Sejajar dengan pengiktirafan ini, kerajaan Malaysia telah memberi persetujuan dan komitmen untuk mempertingkatkan keberkesanan pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber kepelbagaian flora dan fauna secara berkekalan. Dalam konteks ini, penekanan berterusan diberikan ke atas aspek-aspek pemeliharaan, pemuliharaan, penggunaan secara lestari dan perkongsian secara saksama dan adil terhadap sumber tersebut. Oleh itu, spesies asal/ asli perlu di berikan perhatian bagi mengekalkan spesies tersebut. Spesies asal adalah satu spesies dikatakan asal asli (atau asal tempatan) di sesebuah kawasan atau ekosistem jika ia hadir di kawasan tersebut hasil daripada proses semula jadi, tanpa campur tangan manusia. Spesies asal /asli ini akan mengalami kepupusan seandainya berlaku kemerosotan habitat disebabkan oleh aktiviti manusia serta memberi impak yang negatif kepada alam sekitar. Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia dan haruslah dijaga kerana ianya bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan untuk generasi akan datang. Namun begitu, aktiviti manusia semakin rancak dijalankan seiring dengan pembangunan negara masa kini. Antara aktiviti yang melibatkan kemerosotan habitat adalah penggunaan tanah untuk tujuan pertanian, pembangunan prasarana dan pelbagai aktiviti lagi seterusnya memberi impak kepada alam sekitar. Oleh itu untuk mengekalkan spesies asal dan mengembalikan kesegaran alam sekitar, beberapa langkah penjagaan alam sekitar perlu dilaksanakan supaya generasi yang akan datang dapat melihat dan menikmati keindahan alam semulajadi.

 

Objektif :

1. Mengkaji kawasan semulajadi tempatan.

2. Memahami perhubungan ekosistem dengan spesies asli bagi haiwan, tumbuhan dan habitat yang mereka perlukan.

3. Demostrasi perhubungan antara tindakan tersendiri dengan kebolehwujudan habitat semulajadi yang cukup untuk memelihara spesies asli.

4. Peka dengan isu konservasi global yang memberi kesan kepada biodiversiti.

 

Aktiviti

 

Kami telah diterangkan mengenai kawasan semulajadi tempatan. Sehubungan itu, kami telah dibawa ke kawasan setempat untuk memerhati ekosistem dan kaitannya terhadap spesies asli. Kedua, kami telah didedahkan satu spesies asli iaitu tumbuhan dan serangga di Malaysia serta penerangan keperluan ekosistem spesies tersebut. Ketiga, kami didedahkan dengan tindakan-tindakan yang perlu diambil  untuk pemeliharaan spesies tersebut. Terakhir, kami didedahkan tentang isu konservasi global dalam memelihara spesies asli tersebut.   

 

Hasil :

1. Kami dapat melukis dan menerangkan secara ringkas ciri-ciri spesies asli di Malaysia dan mengaplikasikan langkah penjagaan alam sekitar untuk memastikan spesies asli tidak pupus.

 

 

WORLD SCOUT ENVIRONMENT PROGRAMME:  Aim 3 - Pengakap berusaha ke arah dunia yang kurang risiko daripada bahan berbahaya terhadap manusia dan persekitaran.

             Negara kita beruntung kerana mempunyai tanah yang luas yang boleh disesuaikan dengan aktiviti pertanian. Penghasilan hasil pertanian yang berterusan dapat memacu ekonomi kita ke arah yang lebih baik. Namun yang demikian, bidang pertanian berhadapan dengan cabaran dalam menghasilkan tanaman yang optimum iaitu serangan daripada serangga perosak dan penyakit tanaman. Penggunaan racun kimia dikalangan peladang merupakan kaedah yang digunakan untuk menangani masalah tersebut. Racun merupakan formulasi bahan kimia yang digunakan untuk mengawal serangga perosak dan penyakit tanaman. Walaubagaimanapun, penggunaan racun yang tidak terkawal atau tidak mematuhi piawai peraturan yang ditetapkan akan memberi kesan kepada kualiti tanaman, alam sekitar dan kesihatan pengguna. Oleh itu, melalui program ini, kelana akan didedahkan tentang jenis-jenis racun, risiko penggunaan racun dan mengenalpasti tindakan yang boleh di ambil untuk mengurangkan risiko tersebut.

 

Objektif :

1. Menerangkan  kesan  tempatan  daripada  bahan-bahan  berbahaya  kepada  manusia  dan persekitaran dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh individu, kumpulan dan komuniti untuk mengurangkan risiko tersebut.

2. Memahami kesan global bahan-bahan berbahaya tersebut dan tindakan yang boleh diambil untuk mengubah persekitaran dunia.

 

 

Aktiviti 1 : Mengenalpasti racun

Kami telah didedahkan dengan teori berkenaan racun dan kesannya terhadap alam sekitar dalam slot pemindahan ilmu.

 

Aktiviti 2 : Penghasilan racun organik

 

Kami telah diajar cara-cara untuk menghasilkan racun orgranik.

 

Bahan Resepi 1 :-

Daun Kunyit, Daun Gelengang-fungus, Halia, Kunyit, Lengkuas, Bawang, Patawali, Serai wangi-lalat buah, Bunga Betik, Cili-yang bergigit, Molasses-extract microbe (2kg), lain-lain bahan (1kg) dan 5ml dalam 1L air paip.

 

Bahan Resepi 2 :-

Cili segengam, Bawang putih (satu biji), 500ml air paip (semalaman) dan  minyak masak (satu sudu) sewaktu blend.

 

Bahan Resepi 3:-

Serai (2 batang)/halia, 500ml air paip dan sabun (satu sudu) selepas campur.

 

Hasil :

1. Kami dapat mengenalpasti perbezaan racun kimia dan racun orgranik.

2. Kami telah  membincangkan risiko-risiko penggunaan racun dan kelebihan penggunaan racun organik.

 

 

WORLD SCOUT ENVIRONMENT PROGRAMME:  Aim 4 – Pengakap berusaha ke arah dunia yang mempraktiskan dan menggunakan amalan alam sekitar yang paling sesuai.

            Pertanian merupakan satu sektor penghasilan produk utama makanan di negara ini. Iklim dan cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun menjadikan negara ini sesuai dalam menghasilkan produk pertanian secara berterusan. Di samping penghasilan produk tanaman, sektor pertanian turut menghasilkan sisa-sia pertanian yang perlu diuruskan secara baik. Tindakan yang sering di amalkan oleh para peladang adalah membiarkan sisa-sisa tersebut di atas tanah atau di bakar, di mana ia akan memberi kesan kepada alam sekitar. Pelbagai produk boleh dihasilkan menggunakan sisa-sisa pertanian tersebut dan ia boleh digunakan semula untuk menyuburkan tanah dan meningkatkan hasil tanaman seperti biochar dan karbon aktif.

 

Biochar adalah produk tinggi kandungan karbon yang dihasilkan dari pembakaran secara tertutup dengan oksigen yang minimum. Biochar sangat stabil dan tidak mudah teruraikan. Ini menyebabkan biochar mampu menyimpan karbon dalam jangka panjang dan menghalang karbon daripada dibebaskan ke atmosfera. Biochar juga digunakan sebagai pemulih tanah, meningkatkan kualiti tanah dan tanaman.

 

Seterusnya, daripada biochar, ia boleh menghasilkan karbon aktif dengan menggunakan bahan kimia. Teknologi karbon aktif merupakan bahan yang mempunyai saiz liang yang besar mempunyai keupayaan penyerapan yang sangat baik. Karbon aktif mampu mengatasi sebarang masalah kontaminasi atau pencemaran dalam air, tanah dan udara seterusnya dapat mengatasi pencemaran alam sekitar. Kaedah alternatif iaitu penghasilan biochar dan karbon aktif akan akan diperkenalkan kepada Kelana bagi meningkatkan lagi kesedaran serta tanggung jawab untuk melestarikan alam sekitar melalui amalan kitar semula sisa tanaman.

 

Objektif :

1. Menerangkan bagaimana pilihan tindakan dan tanggungjawab kita sebagai individu, berkumpulan, komuniti dan negara boleh mempengaruhi alam sekitar.

2. Memahami bagaimana kita boleh mengubah tindakan kita untuk menambah baik kesan kepada alam sekitar.

3. Demostrasi bagaimana penyelesaian tempatan dapat memberi kesan kepada masalah global.

 

Aktiviti 1 : Penghasilan Biochar

 

Kami telah didedahkan dengan teori berkenaan biomas dan kesannya terhadap alam sekitar dalam slot pemindahan ilmu. Sehubungan itu, kami juga telah diajar secara praktikal untuk menambah nilai kepada sisa-sisa pertanian melalui pembuatan biochar.

 

Teknologi Biochar adalah teknologi pertanian terkini untuk meningkatkan hasil tanaman dan dalam masa yang sama dapat membantu menjaga alam sekitar. Biochar atau lebih dikenali sebagai arang hitam diperbuat daripada sisa pertanian, perternakan dan perhutanan. Sisa tersebut akan dibakar di dalam keadaan oksigen yang terhad dan menghasilkan bahan pepejal yang dipanggil Biochar. Masa pembakaran bergantung pada jenis sisa yang digunakan. Proses pembakaran ini dipanggil ‘pyrolysis’.

 

Aktiviti 2 : Penghasilan Karbon Aktif

 

Kami telah didedahkan dengan teori berkenaan karbon aktif. Sehubungan itu, kami juga telah diajar secara praktikal untuk menambah nilai kepada sisa-sisa pertanian melalui pembuatan karbon aktif.

 

Teknologi Karbon Aktif merupakan bahan yang mempunyai saiz liang yang mempunyai keupayaan penyerapan yang sangat baik. Karbon Aktif mampu mengatasi sebarang masalah kontaminasi atau pencemaran dalam air, tanah dan udara disamping membantu kita menjaga alam sekitar. Teknologi Karbon Aktif dihasilkan sisa tanaman, perternakan dan perhutanan. Sisa tersebut dibakar dalam persekitaran oksigen yang terhad bagi menghasilkan produk Biochar dan seterusnya di aktifkan menggunakan bahan kimia bagi meningkatkan lagi keupayaan penyerapan. Keupayaan penyerapan Karbon Aktif bergantung kepada cara penyediaan Karbon Aktif dan bahan yang digunakan.

 

Kesimpulannya, pelbagai produk boleh dihasilkan dengan menggunakan sisa-sisa pertanian tersebut dan ia boleh digunakan semula untuk menyuburkan tanah dan meningkatkan hasil tanaman seperti biochar dan karbon aktif.

 

 

Hasil :-

1. Kami dapat membincangkan jenis-jenis sisa pertanian yang terdapat di sektor pertanian.

2. Kami dapat membincangkan mengenai penggunaan Biochar dan Karbon Aktif dalam menambah baik alam sekitar dan dapat memberi kesan kepada masalah global.

 

 

WORLD SCOUT ENVIRONMENT PROGRAMME:  Aim 5 – Pengakap berkerja ke arah membina dunia yang sentiasa bersedia untuk menghadapi ancaman dan bencana alam sekitar.

Setiap negara berdepan dengan ancaman bencana alam yang berisiko untuk memusnahkan keadaan sekililing. Risiko atau ancaman boleh didefinisikan sebagai satu situasi di mana pengurus atau pengusaha mempunyai peluang kerugian atau hasil yang tidak baik disebabkan oleh tindakan mereka. Namun begitu, peluang untuk meningkatkan keuntungan adalah bergantung kepada tahap risiko yang diambil kerana setiap tindakan yang diambil mempunyai pelbagai akibat sama ada baik atau buruk. Terdapat pelbagai punca yang mampu meningkatkan risiko berlakunya bencana terbabit terutamanya di dalam bidang pertanian yang melibatkan kesilapan pengurusan ladang seperti penggunaan racun kimia yang berlebihan. Walaubagaimanapun, terdapat juga risiko bencana yang berada diluar bidang pengurusan ladang seperti cuaca, serangan serangga perosak atau serangan penyakit terhadap tumbuhan dan ternakan. Oleh yang demikian, mengenali pelbagai jenis bahaya alam sekitar dan bencana alam serta punca bencana terbabit adalah penting dalam pengurusan persediaan menghadapinya.

 

Seterusnya, tahap kesedaran dan persediaan komuniti masih lagi rendah disebabkan oleh kurangnya pendedahan daripada pihak-pihak yang terlibat. Pengusaha pertanian dan penternakan harus di beri kesedaran dan latihan yang betul sebagai salah satu langkah persediaan untuk menghadapi bencana yang melibatkan tanaman dan ternakan mereka. Para pengusaha hendaklah mengetahui cara pencegahan, persediaan awal bencana, mengawal bencana dan respon kepada bencana. Contohnya penyakit “Dieback Disease” pada pokok betik yang disebabkan oleh bakteria Erwinia papayae. Sehingga kini tiada rawatan yang tepat untuk penyakit ini melainkan melupuskan pokok yang telah dijangkiti dengan cara membakarnya. Namun begitu, penyakit ini boleh dibendung dengan mempraktikkan amalan pertanian baik dan pengusaha hendaklah mengetahui dan bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan risiko atau bencana. Hal ini merupakan kesinambungan bagi memastikan hasil yang berkualiti serta mempunyai daya tahan yang tinggi. Oleh itu, pengetahuan mengenai persediaan bencana adalah sangat penting terutamanya dalam membendung sebarang bencana dan mempercepatkan proses pemulihan kawasan yang terjejas.

 

Akhir sekali, perubahan alam sekitar turut memainkan peranan dalam menentukan risiko dan jenis bencana yang mungkin terjadi. Perubahan alam sekitar ini adalah seperti perubahan iklim, perubahan suhu sekeliling serta pencemaran air ,tanah dan udara. Mengenali perubahan-perubahan ini akan merubah amalan pertanian di sesebuah kawasan. Contohnya, kawasan yang mempunyai tanah berasid hendaklah dineutralkan dahulu sebelum memulakan sebarang aktiviti pertanian bagi menjamin hasil tanaman adalah berkualiti dan bebas penyakit.. Hal ini juga adalah untuk memastikan penghasilan tanaman dan ternakan yang berterusan supaya bekalan makanan tidak terputus dan menjamin kelangsungan hidup masyarakat setempat. Oleh itu, kerajaan telah mengadakan ‘Kempen Kesedaran Awam Mengenai Bencana’ yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bertujuan untuk mendidik rakyat berhadapan dengan situasi bencana. Kesimpulannya, mempelajari bagaimana untuk mempersiapkan diri dan pulih dari bencana alam semula jadi akan mengurangkan kesan jangka panjang bencana terhadap pertanian dan alam sekitar.

 

Objektif :

1. Boleh mengenalpasti pelbagai jenis bahaya alam sekitar dan bencana alam serta menjelaskan mengapa ia berlaku.

2. Demonstrasi cara untuk membantu komuniti bersedia untuk bertindak balas terhadap bahaya alam sekitar dan bencana alam di kawasan setempat.

3. Menerangkan bagaimana perubahan kepada alam sekitar dapat mempengaruhi bahaya alam sekitar dan bencana alam.

 

 

Aktiviti:

 

1. Kami telah didedahkan dengan bahaya alam sekitar dan bencana alam semula jadi dan punca terjadinya bencana tersebut. Justeru itu, kami telah melukis empat proses bagaimana bencana boleh berlaku iaitu ‘acid rain’, ‘ozone hole’, ‘ ocean acidification’ dan ‘pelepasan GHG’.

 

2. Kami telah didedahkan dengan cara-cara persiapan menghadapi bahaya alam sekitar dan bencana alam di kawasan setempat di dalam sektor pertanian.

 

3. Kami telah melukis poster atau peta minda untuk menerangkan perubahan kepada alam sekitar dapat mempengaruhi bahaya alam sekitar dan bencana alam.

 

Terdapat pelbagai punca yang mampu meningkatkan risiko berlakunya bencana terbabit terutamanya di dalam bidang pertanian yang melibatkan kesilapan pengurusan ladang seperti penggunaan racun kimia yang berlebihan. Walaubagaimanapun, terdapat juga risiko bencana yang berada diluar bidang pengurusan ladang seperti cuaca, serangan serangga perosak atau serangan penyakit terhadap tumbuhan dan ternakan. Oleh yang demikian, mengenali pelbagai jenis bahaya alam sekitar dan bencana alam serta punca bencana terbabit adalah penting dalam pengurusan persediaan menghadapinya.

 

Oleh itu, pengetahuan mengenai persediaan bencana adalah sangat penting terutamanya dalam membendung sebarang bencana dan mempercepatkan proses pemulihan kawasan yang terjejas. Perubahan alam sekitar turut memainkan peranan dalam menentukan risiko dan jenis bencana yang mungkin terjadi. Perubahan alam sekitar ini adalah seperti perubahan iklim, perubahan suhu sekeliling serta pencemaran air ,tanah dan udara. Mengenali perubahan-perubahan ini akan merubah amalan pertanian di sesebuah kawasan.

 

Kesimpulannya, mempelajari bagaimana untuk mempersiapkan diri dan pulih dari bencana alam semula jadi akan mengurangkan kesan jangka panjang bencana terhadap pertanian dan alam sekitar.

 

Hasil :-

1. Kami dapat membuat pembentangan mengenai pemahaman kami berdasarkan apa yang telah didedahkan.

 

 

WORLD SCOUT ENVIRONMENT PROGRAMME:  Program pemindahan ilmu

‘Aim 1’ sehingga ‘Aim 5’ bersama komuniti Pertubuhan Peladang Port Dickson, Negeri Sembilan.

PROJEK BERSAMA KOMUNITI :

Semasa projek ini, kami berharap program WSEP ini akan menimbulkan kesedaran dan memindahkan ilmu kepada kalangan peladang bahawa bidang pertanian amatlah berkait rapat dengan alam sekitar dan harus dipelihara dengan sebaiknya. Selain itu, program ini juga menjadi salah satu platform untuk generasi muda iaitu kelana berinteraksi dan berbakti kepada komuniti dan alam sekitar.

 

ATURCARA : PROGRAM KOMUNITI ANTARA KLKM DAN PERTUBUHAN

PELADANG PORT DICKSON NEGERI SEMBILAN

 

8.00  – 8.30 A.M    

- Pendaftaran peserta

- Ketibaan ahli Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM)

- Ketibaan Pengerusi AJP PPK Port Dickson

 

8.30  – 9.00 A.M

- Sarapan pagi

 

9.00  – 12.00 P.M

Ucapan perasmian oleh :

- Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah

- PPK Port Dickson)

- Program Pemindahan  Ilmu (5 aims) “Pemeliharaan Alam Sekitar melalui Pertanian Lestari”

- Demostrasi Teknologi &  Soal Jawab

 

12.00 – 12.30 P.M

- Majlis Penutup

- Makan Tengahari

- Bersurai

 

Ringkasnya, melalui program WSEP ini, kami dapat menimbulkan kesedaran dan memindahkan ilmu ‘Aim 1’ sehingga ‘Aim 5’  kepada kalangan peladang bahawa bidang pertanian amatlah berkait rapat dengan alam sekitar dan harus dipelihara dengan sebaiknya. Sehubungan itu, program ini juga menjadi salah satu platform untuk generasi muda iaitu kami ahli kelanasiswa dapat berinteraksi dan berbakti kepada komuniti dan alam sekitar.

 

 

Kesimpulan Projek :

Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) telah mencetuskan idea ‘Pemeliharaan Alam Sekitar Melalui Pertanian Lestari’ sebagai satu inisiatif untuk menyelamatkan alam sekitar dari terus terancam oleh ancaman manusia dan ancaman semulajadi dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti berteraskan 5 ‘Aim’ dalam World Scout Environment Programme bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Alam sekitar ini sangat berkait rapat dengan manusia kerana dengan adanya persekitaran alam sekitar yang berkualiti akan menghasilkan sumber air dan makanan yang bersih untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan manusia.

Dengan pemeliharaan alam sekitar melalui pertanian lestari di harapkan program ini mendapat sambutan yang menggalakkan serta sokongan yang memberangsangkan dari semua pihak yang terlibat. Diharapkan juga agar aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat mencapai 5 ‘aim’ yang terdapat di dalam ‘World Scout Environment Badge’ tersebut.

 

 

 

PENGISYTIHARAN

 

Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa laporan ini adalah hasil projek kami sendiri untuk keperluan World Scout Environment Programme. Saya juga mengesahkan bahawa idea projek ini adalah berasal daripada kami dan pelaksanaannya juga dibantu oleh kerjasama pelbagai pihak yang mengambil bahagian sebagai perkhidmatan komuniti mereka.

 

 

Mohd Azrol Hafizi Bin Azman

Ahli Projek

World Scout Environment Programme  

Tarikh : 23 December 2018

 

 

 

 

 

 

AZROL HAFIZI AZMAN's picture
from Malaysia, 7 months ago

Project Period

Started On
Friday, December 7, 2018
Ended On
Sunday, December 9, 2018

Participants

40

Service hours

24
Geolocation

Topics

Better World Framework
Global Support Assessment Tool
Safe from Harm
Youth Programme

SDG

Are you sure you want to delete this?
Welcome to Scout.org! We use cookies on this website to enhance your experience.To learn more about our Cookies Policy go here!
By continuing to use our website, you are giving us your consent to use cookies.