Batu Pahat : Hari Pengasas Pengakap 2019
23 Februari 2019, Batu Pahat - Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Johor telah menganjurkan program bersempena Hari Pengasas Pengakap L. Baden Powell. Program yang sehari itu berlangsung pada hari Sabtu (23/2/2019) bertempat di Kem Pengakap iaitu Kem Jubli Intan, Tanjong Laboh, Batu Pahat, Johor. Penglibatan peserta seramai 800 orang daripada segenap daerah menjadikan program ini bertaraf Negeri. Kehadiran pelbagai unit pengakap dari Unit PKK sehinggalah ke Unit Kelana membuatkan program ini penuh dengan warna warni dan cukup bermakna. Beberapa aktiviti yang menarik telah dirancangkan mengikut Unit-unit tersendiri seperti kolaj dari alam semulajadi, rekacipta perhiasan dari bahan terbuang dan roket air dikhaskan kepada Unit Pengakap Kanak-kanak. Bahagian Pengakap Muda dan Remaja pula lebih kepada aktiviti yang lebih mencabar iaitu memanah, Flying Fox, kompas orientering dan lain-lain. Program ini juga tidak melupakan aktiviti untuk ahli pengakap pendidikan khas. Mereka turut mengambil bahagian dengan menyertai aktiviti pakaian beragam ala L.Baden Powell. Kesemua aktiviti kepengakapan ini dilakukan sempena menyambut Hari Pengasas Pengakap. Mereka akan dapat merasai pengalaman berada di suasana hutan dan beraktiviti bersama-sama.